 |
| JEP bersama Muhammad Azim Ramdan dalam satu babak yang melucukan. |
Bertemankan pembantu peribadinya, Khairudin Ismail atau lebih dikenali Der, Jep mencapai gitar kapoknya duduk menyendiri di sebuah gerai sementara menanti penggambaran babak yang melibatkannya.
Bermula dengan lagu Bisikan Hati yang dipopularkan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang, Jep beralih ke lagu Bila Wajahmu Kubayangkan (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad).
Dengan suaranya yang sedap didengar, nyatalah pelawak, pelakon dan tidak lama lagi akan bergelar penyanyi, Jep seorang artis yang berbakat.
Dia bukan sahaja boleh berlawak dan berlakon malah, Jep yang bakatnya mula dicungkil melalui Maharaja Lawak musim ketiga sememangnya berbakat dalam bidang nyanyian.
Dari satu lagu ke satu lagu, siapa sangka anak muda yang mula mencuri hati para peminat dengan lawaknya rupa-rupanya meminati lagu-lagu retro.
Jep yang ditemui di lokasi drama skrip yang ditulis oleh Muhammad Arief Irfan terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., ketika ditanya mengenai bakat dan minatnya itu berkata;
"Saya jenis yang tidak boleh duduk diam dan memang menjadi tabiat saya, jika tidak berborak saya akan memetik gitar.
"Selain dapat menghiburkan hati, ia juga dapat mengelakkan saya daripada mengantuk kerana waktu penggambaran yang lama kadangkala menyebabkan saya penat."
Menurut Jep, selalunya setiap kali sampai di lokasi, dia sudah bersiap sedia dengan perwatakannya kerana telah membaca skrip sebelum penggambaran bermula.
"Bila watak yang akan dibawa sudah sebati dalam diri, ia lebih mudah untuk saya membawakan sesuatu watak itu kerana saya mahu lakonan saya nampak lebih natural," katanya.
Jep yang telah tiga tahun menjadi artis dan baru sahaja menarik diri daripada kumpulan Sepah amat bersyukur dengan rezeki yang diterimanya kini.
Di samping menyanyi sambil memetik gitar, Jep mengakui dia suka mengusik para pelakon dan krew penerbitan ketika menjalani penggambaran.
"Tujuan saya mengusik sebenarnya untuk mewujudkan persekitaran yang lebih ceria di antara saya dan pelakon serta krew," kata Jep yang suka mengusik Liza Abdullah yang berlakon sebagai emaknya dalam drama berkenaan.
Menyentuh mengenai wataknya dalam drama yang akan ditayangkan di Astro Prima pada 2 Januari depan, Jep berkata;
"Dalam drama ini, saya berlakon sebagai Samad, seorang pemuda yang malas bekerja, namun segalanya berubah setelah berjumpa Sheila."
Selain Jep, Leez AF4 (Sheila), Liza Abdullah (Mak Odah), Bomoh Temberang turut dilakonkan Rosnah Mat Aris, Syanie dan Muhammad Azim Ramdan.
-Kopi n Pasta - from : Utusan Malaysia Online
Terima Kasih kerana Membaca. Rajin2 lha post comment korunk!